Pengasuh mengaku tak salah abai bayi, lupus mayat

Pengasuh mengaku tak salah abai bayi, lupus mayat

Goh Mui Leng, 46, didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di Johor Bahru berhubung perbuatan yang dilakukan pada 20 dan 21 Julai lepas.

baby bayi
Seorang wanita berusia 46 tahun didakwa abai seorang bayi perempuan berusia setahun kemudian melupuskan mayat bayi itu di Johor bulan lepas.
PETALING JAYA:
Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, masing-masing atas tuduhan mengabaikan seorang bayi perempuan berusia setahun serta melupuskan mayatnya bulan lepas.

Goh Mui Leng, 46, membuat pengakuan sedemikian selepas tuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di kedua-dua mahkamah itu, lapor Harian Metro.

Di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail, Goh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 atas tuduhan mengabaikannya di sebuah rumah dekat Horizon Hills, Iskandar Puteri pada 20 Julai.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Sementara itu, di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, wanita itu didakwa melupuskan mayat bayi itu dengan niat hendak menyembunyikan kematiannya dan melepaskan diri daripada hukuman.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar kawasan Jalan Mohd Salleh, Pekan Nenas, Pontian, pada 21 Julai.

Di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zuhainie Zull Kafli dan Shamira Mohd Luthfi Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Ismail Hafiz Iskandar Shah.

Ketika merayu jaminan untuk anak guamnya, Ismail Hafiz memberitahu mahkamah, Goh seorang ibu tunggal yang memelihara dua anak yang masih bersekolah, masing-masing berusia 10 dan 12 tahun, serta ibu yang uzur.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap tuduhan beserta dua syarat tambahan, iaitu pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melapor diri di IPD Iskandar Puteri setiap bulan.

Sebutan semula kes dijadualkan pada 3 Okt depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.