Ibu tunggal dalang ‘along’ didakwa lagi bakar 2 kereta

Ibu tunggal dalang ‘along’ didakwa lagi bakar 2 kereta

Vun Lee Fon didakwa membaling bom petrol hingga memusnahkan dua kereta di Muar pada bulan lalu.

mahkamah muar
Vun Lee Fon sekali lagi didakwa kali ini di Mahkamah Muar atas tuduhan khianat dengan membaling bom petrol terhadap dua buah kereta pada bulan lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang ibu tunggal yang juga dalang ‘along’ sekali lagi didakwa di mahkamah, kali ini di Mahkamah Sesyen Muar, Johor atas tuduhan khianat dengan membaling bom petrol terhadap dua buah kereta pada bulan lalu.

Vun Lee Fon, 46, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada dua anak didakwa membaling bom petrol ke atas dua buah kereta milik dua wanita yang menyebabkan kerugian lebih RM70,000 di Jalan Haji Hassan Nindong, di Muar pada 12.52 tengah malam, 5 Sept lalu.

Vun didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan menetapkan 9 Dis ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki berusia 39 tahun di lokasi, masa dan tarikh sama.

Didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Majistret Kartini Kasran kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan kes disebut semula pada tarikh sama.

Kedua-dua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Vun pada 22 Sept lalu, juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kluang atas pertuduhan khianat dengan membakar dua kereta.

Dia didakwa melakukan khianat membakar dua kereta milik dua wanita di Jalan Suria 4, Taman Matahari dan Taman Sri Permai di Kluang antara 3 hingga 4 pagi pada 3 dan 5 Sept lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.