
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata tangkapan melibatkan lelaki berusia 42 tahun itu dibuat susulan laporan hari ini oleh pengadu, yang melihat rakaman video kejadian di Facebook.
Beliau berkata, suspek dipercayai bertindak demikian akibat marah digigit haiwan peliharaannya itu dalam kejadian yang didakwa berlaku kira-kira 8 malam, Sabtu lalu.
“Anjing berkenaan telah diselamatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DSV) negeri bagi tujuan rawatan dan senjata serta baju yang dipakai suspek semasa kejadian turut dirampas,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan 17 narkotik memiliki lesen sah memelihara haiwan berkenaan.
Abang Zainal berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Binatang 1953 iaitu kesalahan menganiaya dan khianat terhadap haiwan.
Terdahulu, tular video berdurasi 43 saat di laman Facebook ‘Malaysian Dogs Deserve Better’, memaparkan seorang lelaki memukul anjing dengan sebatang tukul besi dan video itu telah dirakam seorang individu, dipercayai tinggal berhampiran kawasan kejadian.