2 anggota polis didakwa minta, terima rasuah ‘lepas’ kes khalwat

2 anggota polis didakwa minta, terima rasuah ‘lepas’ kes khalwat

Muhammad Safwan Mazlan dan Muhammad Amir Aizad Zahid bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan.

kompleks mahkamah kuantan
Dua anggota polis, Muhammad Safwan Mazlan, 28, dan Muhammad Amir Aizad Zahid, 31, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan meminta dan menerima suapan bagi melepaskan pasangan kekasih disyaki berkhalwat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan meminta dan menerima suapan bagi melepaskan pasangan kekasih disyaki berkhalwat.

Kedua-dua tertuduh, Muhammad Safwan Mazlan, 28, dan Muhammad Amir Aizad Zahid, 31, yang masing-masing berpangkat konstabel dan koperal bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka yang berkhidmat di IPD Kuantan didakwa telah meminta wang tunai RM7,000 daripada pasangan kekasih.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan parkir terbuka berpalang di sebuah hotel di Teluk Cempedak pada 1.15 petang, 19 Januari lalu.

Bagaimanapun, pasangan kekasih itu didakwa menyerahkan wang berjumlah RM1,000 di kawasan parking terbuka IIUM Kuantan, di sini keesokan harinya, kira-kira 2 petang.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Raya SPRM Suriawani Abdul Rahim mengendalikan pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Ahmad Syamsul Akmar Yusof dan Halimaton Saadiah Abu Samah.

Sazlina kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh.

Mahkamah kita turut mengenakan syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan untuk mengganggu pengadu dan saksi pendakwaan kecuali pegawai penyiasat sepanjang perbicaraan, selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Februari depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.