2 warga China ditahan tipu laman lucah sasar warga Hong Kong

2 warga China ditahan tipu laman lucah sasar warga Hong Kong

Ketua Polis Cheras Rosdi Daud berkata mereka beroperasi di sebuah kondominium di Cheras, sejak enam bulan lalu.

handcuff gari
Ketua Polis Cheras Rosdi Daud berkata mangsa buat bayaran untuk tonton secara langsung kandungan aksi lucah tetapi tidak dapat perkhidmatan sepertimana yang dijanjikan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan dua warga China yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan menguruskan laman sesawang lucah yang menyasarkan warga Hong Kong.

Ketua polis Cheras Rosdi Daud berkata, sepasukan anggota dari bahagian risikan melakukan serbuan ke atas sebuah unit kondominium di Cheras, Kuala Lumpur, selepas menerima maklumat mengenai kegiatan tersebut.

Beliau berkata, beberapa telefon bimbit bernilai RM25,000 dirampas dalam serbuan itu, dan suspek dipercayai beroperasi dari unit berkenaan sejak enam bulan lalu.

“Mangsa yang berminat akan menonton secara langsung kandungan aksi lucah atau bogel dalam waktu yang terhad di mana mangsa diminta untuk membuat bayaran berikutnya bagi membolehkan laman tersebut terus diakses.

“Bagaimanapun, setelah mangsa membuat bayaran, mangsa tidak dapat perkhidmatan sepertimana yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Rosdi berkata siasatan lanjut mendapati sindiket itu hanya bertanggungjawab mengawal dan mentadbir platform dalam talian berkenaan.

“Semua urusan melibatkan transaksi pembayaran dan akaun dipercayai diuruskan oleh kumpulan lain yang masih bebas,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B kerana pakatan jenayah.

Kedua-dua suspek berumur 28 dan 31 tahun itu direman empat hari bermula hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.