
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) M Kumar mengumumkan mereka ditangkap dengan bantuan pihak berkuasa Mumbai, kemudian dibawa pulang ke Malaysia, dan dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang, petang tadi.
Kes disiasat bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh yang tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi dua puluh tahun.
“Polis merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India atas kerjasama erat yang diberikan,” menurut kenyataan.
Kelmarin, media India melaporkan tiga warga Malaysia yang diburu dalam Op Jack Sparrow bergelut dengan anggota keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj, Mumbai.
NDTV melaporkan mereka berjaya keluar dari Malaysia ke Mumbai dan cuba memasuki United Kingdom, tetapi dihalang masuk oleh imigresen lalu dihantar pulang ke India.
Satu pasukan khas polis Malaysia dihantar ke Mumbai bagi membawa mereka pulang.
Pada September lalu, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata polis menumpaskan satu kumpulan yang didakwa terlibat dalam pembunuhan dua lelaki di Taman Sentosa, Klang, awal 2025, susulan penahanan 17 suspek.
Beliau berkata kumpulan itu, yang didalangi seorang warga Malaysia, aktif sejak 2023 dan mempunyai 33 ahli.
Kumpulan tersebut dipercayai terlibat dalam beberapa jenayah ganas termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, khianat dengan api dan rompakan berkumpulan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.