2 ditahan berkait kes bunuh lelaki Myanmar

2 ditahan berkait kes bunuh lelaki Myanmar

Polis tahan dua lelaki warga Myanmar berusia 39 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

garisan polis dilarang melintas
Majikan mendapati pintu rumah dalam keadaan terbuka sebelum menemui mangsa terbaring di bahagian dapur dengan lokasi kejadian dianggarkan kira-kira 1.5km dari jalan utama.
IPOH:
Seorang lelaki warga Myanmar berusia 25 tahun ditemukan maut dengan kesan kecederaan di perut dan leher di sebuah rumah kebun berhampiran kolam ikan di Kampung Kelawar, Tanjong Malim, hari ini.

Ketua Polis Muallim, Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 11 pagi daripada seorang lelaki tempatan yang juga majikan mangsa selepas menemui mayat mangsa ketika membuat lawatan ke kawasan kebun berkenaan.

Beliau berkata, semasa lawatan itu, majikan mangsa mendapati pintu rumah dalam keadaan terbuka sebelum menemui mangsa terbaring di bahagian dapur dengan lokasi kejadian dianggarkan kira-kira 1.5km dari jalan utama.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa berlumuran darah dan masih berpakaian lengkap. Kecederaan parah dipercayai akibat ditikam menggunakan sebilah parang di bahagian perut serta kesan kelar pada leher,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Hasni berkata, bertindak atas maklumat dan siasatan lanjut, polis menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 39 tahun bagi membantu siasatan dan permohonan reman akan dibuat bagi tujuan siasatan lanjut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muallim Mutazlim Hamdan di talian 011 10912754 atau IPD Muallim di talian 05 4528222.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.