Pelajar maut motosikal bertembung

Pelajar maut motosikal bertembung

Pemangku Ketua Polis Besut Md Sani Md Saleh berkata kejadian itu turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal parah.

garisan kuning
Pemangku Ketua Polis Besut Md Sani Md Saleh berkata motosikal ditunggang mangsa yang berusia 13 tahun itu hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah lagi motosikal.
JERTIH:
Seorang pelajar lelaki tingkatan satu maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain di Kampung Bukit Jeruk dekat Jabi, di sini malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Besut Md Sani Md Saleh berkata kemalangan kira-kira pukul 7.10 malam itu menyebabkan mangsa berusia 13 tahun meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah pada anggota badan manakala seorang lagi mangsa turut cedera parah.

“Siasatan awal polis mendapati pelajar terbabit yang menunggang motosikal jenis SYM dari arah Kampung Benting Lintang ke Kampung Bukit Jeruk, dipercayai hilang kawalan.

“Motosikalnya kemudian bertembung dengan sebuah motosikal jenis Honda Dash ditunggang lelaki berusia 20 tahun dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Md Sani berkata mayat pelajar itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat manakala penunggang motosikal yang cedera parah di paha dan kepala turut dihantar ke hospital sama sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.