Bekas guru praktikal mengaku tak salah amang seksual pelajar

Bekas guru praktikal mengaku tak salah amang seksual pelajar

Wan Mohamad Aliff Wan Mohd Sofian didakwa melakukan perbuatan itu terhadap pelajar lelaki 13 tahun di bilik asrama sekolah menengah.

seremban court
Tertuduh, Wan Mohamad Aliff Wan Mohd Sofian, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki, Julai lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas guru praktikal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dalam bilik asrama sebuah sekolah menengah, Julai lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Wan Mohamad Aliff Wan Mohd Sofian, 26, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Kanageswari, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual dengan cara menyentuh kemaluan dan mencium dahi kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun 10 bulan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itua pada 26 Julai lalu, kira-kira 7.30 pagi dalam bilik asrama sebuah sekolah menengah di Sikamat, Seremban.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan syarat melaporkan diri di balai polis berdekatan pada hari pertama setiap bulan, tidak berjumpa dan mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai selain turut dikehendaki menyerahkan pasport.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Oktober depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.