
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata, kejadian bermula pada 6 November tahun lalu apabila mangsa tertarik dengan iklan pelaburan saham di Facebook.
Katanya, mangsa berhubung dengan seorang individu yang mengaku sebagai pegawai khidmat pelanggan sebelum diarahkan memuat turun aplikasi dan mengisi butiran peribadi dan maklumat perbankan.
“Mangsa dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak 12% hingga 100% sehari berdasarkan jumlah pelaburan.
“Terpedaya dengan tawaran tersebut, mangsa memindahkan wang secara berperingkat ke dalam akaun tempatan yang diberikan suspek, membabitkan 11 transaksi dari 6 November hingga 17 Disember lalu yang keseluruhannya berjumlah RM176,000,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Beliau berkata, selepas membuat pindahan mangsa cuba mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan, namun gagal mendapatkan sebarang pulangan.
“Pemeriksaan awal melalui platform Semak Mule CCID mendapati akaun yang digunakan oleh suspek memiliki lima rekod laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.