‘Scammer’ arah lapor diri bila masuk waktu solat, pegawai tadbir rugi RM220,000

‘Scammer’ arah lapor diri bila masuk waktu solat, pegawai tadbir rugi RM220,000

Sindiket penipuan telefon turut perdaya mangsa buat pinjaman bank RM190,000 dengan wang itu dimasukkan ke akaun diberikan suspek.

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor, berkata mangsa dikatakan terlibat aktiviti pengubahan wang sebelum diarah berurusan dengan IPK Johor. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Lapor diri setiap kali masuk waktu solat selain diarah pindah wang ke akaun juruaudit negara antara syarat diberikan kepada seorang pegawai tadbir sebelum ditipu RM220,000.

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor, berkata pada 3 Sept mangsa berusia 31 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki menyamar pegawai Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Maybank Kuala Lumpur.

Beliau berkata, suspek mendakwa mangsa yang berasal dari Kuala Terengganu itu ada membuka akaun Maybank di Johor, serta didapati terlibat aktiviti pengubahan wang.

“Seterusnya panggilan mangsa disambungkan kepada rakan suspek yang menyamar sebagai Sarjan Khairudin daripada IPK Johor.

“Mangsa diminta mendedahkan maklumat peribadi termasuk semua akaun bank, akaun Tabung Haji, dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) selain diarahkan melapor diri setiap kali masuk waktu solat pada setiap hari, kerana kononnya terikat dengan Akta 88 iaitu Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya menurut Bernama.

Azli berkata mangsa kemudiannya diperkenal dengan suspek lain bernama Rashid, kononnya untuk membantu menyelesaikan kes tersebut.

Beliau berkata suspek mengarahkan mangsa mengeluarkan wang simpanan daripada ASB dan Tabung Haji berjumlah RM30,000, dengan alasan untuk dipindahkan ke akaun juruaudit negara.

“Mangsa yang terperdaya telah membuat dua kali pindahan wang ke akaun yang diarahkan bagi membersihkan namanya pada 14 Sept lepas. Tidak cukup dengan itu mangsa juga diarahkan supaya membuat pinjaman peribadi.

“Mangsa kemudiannya memindahkan wang pinjaman berjumlah RM190,000 itu ke akaun diarahkan suspek dalam tempoh 8 hingga 14 Okt,” katanya.

Azli berkata, mangsa menyedari ditipu setelah usaha menghubungi suspek untuk mendapatkan maklum balas dan perkembangan kes gagal.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.