Namhae tingkat import baja hijau Malaysia bernilai RM500 juta

Namhae tingkat import baja hijau Malaysia bernilai RM500 juta

Anwar Ibrahim turut umum projek nadir bumi dan pelaburan JS Link di Pahang.

mohamad hasan, anwar ibrahim n tengku zafrul
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec di Gyeongju, Korea Selatan. Turut hadir ialah Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.
GYEONGJU:
Syarikat pengeluar baja Korea Selatan, Namhae Chemical Corporation, bersetuju meningkatkan import ammonia dan baja urea hijau dari Malaysia dalam perjanjian bernilai kira-kira RM500 juta, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu dimuktamadkan susulan perbincangan sempena penyertaannya dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec di Gyeongju.

Namhae Chemical adalah pengeluar baja kimia dan bahan kimia industri terbesar di Korea Selatan. Syarikat itu menguasai 42% pasaran domestik dan mengeksport ke 20 negara.

Sebagai pembeli utama bahan mentah, Namhae Chemical memperoleh bahan bernilai RM3.22 bilion pada 2024, termasuk ammonia (27%), urea (11%), batu fosfat (13.3%), kalium klorida (3.3%) dan sulfur (3.5%).

Dalam sidang media itu, Anwar turut memaklumkan perkembangan projek industri nadir bumi di Pahang. Beliau berkata pengeluar magnet kekal Korea, JS Link, sedang memperluas pengeluaran bahan bernilai tinggi termasuk magnet super.

“JS Link telah pun membeli tanah dan membaik pulih sebuah kilang lama untuk mempercepatkan operasi,” kata Anwar.

Projek itu dianggarkan bernilai RM600 juta.

Julai lalu, Lynas Rare Earths menandatangani perjanjian awal dengan JS Link untuk membangunkan fasiliti di Kuantan bagi menghasilkan sehingga 3,000 tan magnet neodymium-iron-boron setiap tahun.

Magnet tersebut adalah antara yang paling kukuh di dunia, digunakan dalam turbin angin, mesin MRI dan peralatan berkuasa tinggi lain.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata sekitar 15 syarikat multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat menyatakan minat untuk menambah atau memudah cara pelaburan di Malaysia.

Antara syarikat tersebut ialah Microsoft, Amazon Web Services, Philip Morris International dan JP Morgan Chase, merangkumi sektor farmaseutikal, semikonduktor dan perkhidmatan kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.