Bot bawa 90 pati karam, 6 ditemui selamat

Bot bawa 90 pati karam, 6 ditemui selamat

Polis turut mengesahkan seorang wanita Myanmar maut setakat ini.

Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah
Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan dengan bantuan APMM dan PPM untuk mengesan mangsa lain serta baki bot yang hilang, kata Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah bot dipercayai membawa 90 pendatang asing tanpa izin (Pati) pecah di lautan berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand malam semalam, dengan enam ditemui selamat dan seorang wanita Myanmar disahkan maut setakat ini.

Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah, berkata bot terbabit sebahagian daripada kapal besar yang membawa kira-kira 300 orang sebelum dihantar sindiket ke tiga bot kecil sebaik menghampiri sempadan negara.

“Ketika hampir tiba di sempadan tiga hari lalu, kumpulan itu dipecahkan oleh sindiket dan dipindahkan ke tiga bot kecil yang masing-masing memuatkan kira-kira 90 orang.

“Bot yang membawa 90 orang itu dipercayai karam manakala dua lagi bot masih belum dapat dikesan,” katanya, menurut Harian Metro.

Beliau berkata enam yang ditemui selamat itu membabitkan warga Myanmar termasuk Rohingya dan Bangladesh.

“Manakala mayat seorang wanita Rohingya turut ditemui hanyut di laut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk mengesan mangsa lain serta baki bot yang hilang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata setiap individu terbabit dipercayai membayar kira-kira RM13,000 kepada sindiket bagi perjalanan ke Malaysia.

“Kapal yang bawa 300 orang bercampur, Myanmar, Bangladesh dan Rohingya sejak sebulan lalu.

“Mereka difahamkan membayar RM13,000 seorang dan ada yang hingga menjual tanah untuk membayar sindiket datang ke sini. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.