
Ibnu Rasyeed yang juga Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) itu mendapat 59 undi menewaskan Mohd Syaimein Rosli yang memperoleh 35 undi daripada 94 perwakilan yang layak mengundi.
Keputusan itu diumumkan Ketua Pemuda Perak Nazirul Jamaluddin yang turut mengumumkan barisan 15 ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda Bukit Gantang yang menang pada pemilihan khas itu, menurut Sinar Harian.
Pada 17 Okt, FMT melaporkan Pemuda bahagian itu lumpuh apabila hampir semua AJK meletak jawatan kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan prestasi Adri mengetuai sayap bahagian itu.
Difahamkan, hanya Adri kekal dalam jawatankuasa itu selepas naib ketua Pemuda serta barisan AJK bahagian terbabit meletak jawatan.
Mengikut Perlembagaan Umno, jawatankuasa Pemuda sesebuah bahagian perlu mengadakan pemilihan semula jika dua pertiga atau lebih AJK letak jawatan.
Sementara itu, Ketua Umno Bukit Gantang Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata susulan krisis itu dua AJK Pemuda Bukit Gantang menawarkan diri bertanding ketua sayap menggantikan Adri.
“Selepas pemilihan adalah tempoh untuk menyatukan balik keluarga, sudah tentu bila wujud krisis, akan datang peluang dan ini harus diambil untuk menyatukan keluarga ini dan membawa bahtera kita terus ke depan.
“Mereka mempunyai tugas yang besar dalam tempoh dua tahun mendatang untuk memastikan sokongan orang muda terutama kepada Umno dan Barisan Nasional meningkat,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Sementara itu, Ibnu Rasyeed ketika ditemui selepas diumumkan menang pada pemilihan itu berkata tumpuannya selepas ini adalah menyatukan semula ahli Pemuda bahagian dan meneruskan usaha mendekati pengundi muda.
“Yang lepas itu lepas, kita fokus ke hadapan kerana kita nak hadapi pilihan raya tak lama lagi,” katanya.