
Izuan berkata, perkara itu dimaklumkan dalam pertemuan dua jam bersama AJK Pemuda PKR cabang terbabit, yang turut disertai oleh pimpinan Pemuda PKR pusat, pada Khamis lepas.
“Pertemuan ini diadakan bagi memberi ruang kepada AJK untuk menyuarakan pandangan serta mencari titik temu,” katanya kepada FMT.
“Sebab utama peletakan jawatan mereka adalah sebagai solidariti bersama rakan-rakan yang tewas dalam pemilihan lepas.”
Izuan berkata, hasil pertemuan tersebut juga akan dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan pusat akan datang, selain dakwaan pembubaran cabang Pemuda itu.
“Terlalu awal untuk menyatakan Pemuda PKR Selayang terbubar secara rasmi,” katanya.
“Sebarang pembubaran cabang perlu disahkan oleh pimpinan Pemuda PKR Pusat terlebih dahulu, berdasarkan laporan siasatan.”
Dilaporkan pada Isnin lepas, sekumpulan AJK Pemuda PKR Selayang meletak jawatan, termasuk timbalan ketua Muhammad Amir Sahmat dan naib ketua Lee Fook Onn, dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti.
Langkah itu didakwa boleh mencetuskan pembubaran cabang sayap itu, namun Setiausaha Pemuda PKR Omar Mokhtar Manap kemudian menegaskan, cabang sayap itu masih sah.
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh turut menafikan dakwaan pembubaran itu, dengan berkata sesebuah jawatankuasa hanya akan terbubar jika sekurang-kurangnya dua pertiga atau 18 daripada 26 ahli meletak jawatan.
“Pada mulanya, 17 orang letak jawatan, kemudian tiga tarik balik, diikuti seorang lagi. Jumlah terkini letak jawatan ialah 13,” katanya kepada FMT.