
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Malaysia akan terus mempromosi akses ketersambungan sejagat dan mampu milik melalui kerjasama strategik, serta menumpu pada usaha memperkukuh kepercayaan digital dan ketahanan keselamatan siber.
Malaysia juga mahu fokus pada usaha memajukan pembangunan keupayaan dan kemahiran digital untuk semua, serta memperkukuh kerjasama serantau dan pelbagai pihak berkepentingan demi mewujudkan ekonomi digital yang inklusif.
“Visi kami tetap jelas iaitu membina masa depan digital di mana semua orang boleh kekal berhubung, inklusif serta selamat pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” tegasnya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Segmen Peringkat Tinggi Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC-25), di ibu negara Azerbaijan, Baku.
“Justeru itu, Malaysia dengan rendah hati memohon sokongan semua negara anggota untuk mencalonkan kami ke Majlis ITU bagi penggal 2027-2030,” katanya, lapor Bernama.
Fahmi berkata kempen Malaysia berlandaskan kepercayaan bahawa masa depan yang benar-benar saksama bermula dengan memastikan bahawa semua orang boleh berhubung, dilibatkan, dan selamat dalam dunia digital.
Beliau berkata tema persidangan WTDC-25 iaitu ‘Universal, Meaningful, and Affordable Connectivity for an Inclusive and Sustainable Digital Future’ selaras visi Malaysia iaitu ‘Inclusivity for Equitable Future’.
Ikrar Malaysia iaitu ‘Partner2Connect’ (P2C) mencerminkan komitmen tersebut melalui inisiatif seperti Pelan Jaringan Digital Negara (Jendela), Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) dan Projek Kitar Semula Peranti Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Kecil (Kitar).
Fahmi berkata semua inisiatif direka untuk memperluas akses jalur lebar, meningkatkan kadar mampu milik, dan mempromosi kelestarian melalui transformasi digital yang bertanggungjawab.
“Kami berasa bangga kerana Jendela dan Nadi diiktiraf sebagai antara pemenang Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WSIS) sekali gus memperkukuh kepercayaan Malaysia bahawa keterangkuman digital dan inovasi kunci ke arah memperkasakan rakyat serta mengubah kehidupan,” katanya.
Fahmi juga berkata seiring dengan peluasan ketersambungan, kepercayaan juga perlu bergerak selari, sambil menekankan penerimaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab oleh Asean di bawah kepengerusian Malaysia tahun ini pada Sidang Kemuncak Asean ke-47.
“Malaysia juga berbangga kerana mempelopori pembangunan Garis Panduan Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab untuk Asean, yang menyatukan negara anggota dalam mempromosikan keselamatan dalam talian, akauntabiliti serta kerjasama rentas sempadan,” katanya.
Di peringkat domestik, Fahmi berkata Malaysia memperkukuh rangka kerja keselamatan siber, privasi dan perlindungan data melalui Kempen Keselamatan Dalam Talian (KIS).
Kempen itu bertujuan memperkasa pengguna untuk melayari internet dengan selamat melalui peningkatan kesedaran mengenai risiko dalam talian seperti penipuan, pembulian siber, dan eksploitasi kanak-kanak.
Turut hadir pada majlis ialah Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Annuar Zaini; Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Ahmad Kamrizamil Riza; Timbalan Pengarah Urusan SKMM Zulkarnain Yasin, dan setiausaha bahagian teknologi komunikasi di Kementerian Komunikasi, Ahmad Norhad Zahari.