
Halim yang pertama kali dilantik sebagai presiden pada 2016, menewaskan Effendy Abdul Ghani dengan kelebihan tujuh undi dalam persidangan perwakilan khas pada Sabtu dan Ahad lalu, yang diarahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Effendy dipilih sebagai presiden dalam pemilihan tiga tahun sekali pada 2022, namun keputusan itu kemudiannya diisytiharkan tidak sah dan batal oleh Mahkamah Tinggi.
Halim berkata pertikaian yang berlarutan itu telah melemahkan pusat buruh tersebut, menyebabkan MTUC kehilangan perwakilan dalam badan berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak enam tahun lalu.
“Sekarang isu ini akhirnya diselesaikan melalui campur tangan mahkamah dan satu pemilihan yang sah diadakan, saya akan memastikan MTUC mendapatkan kembali tempatnya dalam badan-badan berkanun ini demi melindungi hak pekerja,” katanya kepada FMT.
“Cukup-cukuplah, perpecahan dalam MTUC mesti dipulihkan. Syukur, pemilihan kali ini menyaksikan ahli dari kedua-dua pihak dipilih ke dalam jawatankuasa, satu petanda baik untuk perpaduan MTUC pada masa depan.”
Halim berkata Menteri Sumber Manusia Steven Sim menghubunginya sejurus selepas keputusan pemilihan diumumkan untuk mengucapkan tahniah dan memberi jaminan bahawa kementerian akan bekerjasama dengan kepimpinan baharu bagi menangani isu-isu penting berkaitan pekerja.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada menteri dan bekas setiausaha agung MTUC, J Solomon, yang dilantik mahkamah untuk mengetuai jawatankuasa khas bersama bagi mengendalikan pemilihan semula. Halim memuji Solomon kerana melaksanakan arahan mahkamah dengan adil.
Antara pemegang jawatan utama yang dipilih ialah Mohamed Dauzkaply sebagai timbalan presiden, Kamarul Baharin Mansor sebagai setiausaha agung, dan Bindu Patel sebagai setiausaha kewangan.
Dalam pemilihan 2019, Halim terikat dengan seorang lagi calon presiden, tetapi setiausaha agung ketika itu dan jawatankuasa kerja gagal menyelesaikan kebuntuan dan mengetepikan Halim. Jawatankuasa itu kemudiannya menyingkirkan beliau daripada bertanding dalam pemilihan 2022 dengan mendakwa beliau tidak layak.
Hal ini mendorong Halim memfailkan saman, dan setahun kemudian Mahkamah Tinggi Shah Alam mengisytiharkan pemilihan 2022 tidak sah, dan memutuskan bahawa tindakan yang diambil adalah di luar bidang kuasa perlembagaan MTUC.
Mahkamah memberikan penangguhan pelaksanaan bersyarat, membenarkan pegawai MTUC menguruskan operasi harian sahaja serta melarang mereka membuat keputusan dasar, kenyataan awam, atau mewakili MTUC dalam kapasiti rasmi.
Pada Februari, Mahkamah Rayuan mendengar cabaran oleh presiden MTUC ketika itu terhadap setiausaha agung Kamarul, dengan kedua-dua pemilihan mereka pada 2022 dibatalkan.
Semua pihak akhirnya mencapai persetujuan bersama untuk membentuk jawatankuasa khas bersama bagi mentadbir MTUC dan mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 90 hari.