Adun Kuang timbang saman ketua Bersatu Selayang

Adun Kuang timbang saman ketua Bersatu Selayang

Rafiq Abdullah berkata tindakan itu susulan kenyataan terbuka Ahmad Nasir Mid dakwa beliau terbabit memujuk AJK bahagian itu letak jawatan.

Adun Kuang, Rafiq Abdullah dakwa ramai AJK Bersatu Selayang letak jawatan kerana tidak setuju dengan tindakan Ahmad Nasir Mid tandatangan akuan berkanun (SD) yang dikumpul Wan Saiful Wan Jan tanpa berbincang dengan mereka. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Adun Kuang Rafiq Abdullah mempertimbang untuk menyaman Ketua Bersatu Selayang Ahmad Nasir Mid berhubung kenyataan terbuka mendakwanya terbabit dalam usaha memujuk ahli jawatankuasa (AJK) bahagian itu meletakkan jawatan.

Timbalan ketua Bersatu Selangor itu berkata beliau dimaklumkan lembaga disiplin parti bahawa ada aduan dibuat terhadapnya, namun hasil siasatan mendapati ‘tiada kes’ untuk diteruskan.

Menurutnya lagi, lembaga disiplin mendapati individu dikatakan Nasir menuduh beliau menerima rasuah sebenarnya ialah AJK yang sudah meletakkan jawatan sejak Jun lalu.

“Kamu sudah ‘resign’ empat bulan lepas, kemudian kata saya memujuk kamu ‘resign’. Adakah itu logik?

“Itu hak beliau membuat laporan kepada lembaga disiplin, tetapi menyebut nama saya secara terbuka adalah perkara berbeza. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadapnya,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, Rafiq mengakui memang wujud gerakan meletak jawatan secara besar-besaran dalam kalangan AJK bahagian Selayang susulan ketidakpuasan hati terhadap tindakan Nasir yang menandatangani akuan berkanun (SD) yang dikumpul Wan Saiful Wan Jan tanpa berbincang dengan mereka.

SD tersebut dipercayai mendesak Timbalan Presiden Hamzah Zainudin menggantikan Muhyiddin Yassin menerajui Bersatu.

“Sebarang keputusan berkaitan mesti dibuat di peringkat bahagian. Mereka merasakan ada individu lain yang lebih layak dan mampu memimpin Selayang dengan lebih baik, maka mereka bertindak mengikut perlembagaan dengan meletak jawatan.

“Setakat ini, lebih separuh AJK telah berbuat demikian dan apabila jumlah itu melebihi separuh, bahagian akan terbubar,” katanya.

Terdahulu, Nasir mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap Rafiq walaupun aduan salah laku disiplin berserta bukti telah difailkan pada 23 Sept lalu.

Katanya, aduan itu dibuat selepas mendakwa wujud usaha memujuk AJK bahagian Selayang meletak jawatan atas tujuan menubuhkan ‘jawatankuasa penaja baharu’ bagi memperkukuh pengaruh dalam parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.