
Bercakap kepada FMT, bekas setiausaha agung Umno berkata beliau berpegang kepada dasar prinsip perjuangan dididik dalam PAS berbanding mengejar jawatan.
“PAS mendidik kami untuk tidak mengutamakan perebutan jawatan, sebaliknya berkhidmat dengan baik untuk rakyat dan kerana Allah,” katanya, mendakwa menerima hampir 60 pencalonan untuk bertanding pada Muktamar PAS berlangsung 11 hingga 16 Sept ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat (JKPP), Wan Rohimi Wan Daud, mengumumkan senarai penuh calon bertanding selepas semua jawapan tawaran diterima dan diteliti jawatankuasa berkenaan dalam mesyuarat Selasa lalu.
Selain Annuar, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan turut menolak pencalonan bagi AJK PAS Pusat.
Antara calon bertanding adalah Menteri Besar Kedah Sanusi Nor, Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim dan bekas menteri besar Perlis Shahidan Kassim.
Mengulas lanjut, Annuar berkata beliau lebih selesa menumpukan gerak kerja parti serta mempersiapkan kekuatan PAS dan Perikatan Nasional (PN) menghadapi pilihan raya.
“Khidmat saya adalah untuk memperkukuh kekuatan PAS. Jika saya dapat bantu jentera pilihan raya dan pimpinan parti walaupun tanpa jawatan, itu sudah memadai bagi saya,” katanya.
Annuar kini memegang jawatan timbalan pengarah pilihan raya PAS, peranan strategik dalam mempersiapkan parti bagi menghadapi siri pilihan raya akan datang termasuk PRN Sabah dan PRU16.
Annuar yang pernah mewakili Parlimen Ketereh selama tiga penggal atas tiket BN menyertai PAS secara rasmi pada Mac 2023, beberapa bulan selepas dipecat Umno.
Beliau pernah dilantik menteri komunikasi dan multimedia serta menteri Wilayah Persekutuan.