Populariti ‘senjata’ Sanusi kekal dalam pemilihan PAS, kata penganalisis

Populariti ‘senjata’ Sanusi kekal dalam pemilihan PAS, kata penganalisis

Sanusi Nor dikatakan tiada tandingan dalam kalangan calon AJK pusat kerana beliau adalah menteri besar Kedah dan ketua pengarah pilihan raya PAS.

Sanusi Nor
Sanusi Nor tidak merebut jawatan naib presiden PAS untuk kali ketiga sebaliknya memilih mempertahankan kerusi AJK pusat bagi penggal 2025-2027.
PETALING JAYA:
Populariti Menteri Besar Kedah Sanusi Nor dijangka terus menjadi ‘senjata’ utama memastikan kedudukannya kekal kukuh dalam pemilihan sempena Muktamar PAS pada 11 hingga 16 Sept ini.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata kemenangan Sanusi dalam kes mahkamah membabitkan saman fitnah Ogos lalu turut melonjakkan lagi pengaruh politiknya dalam parti, sekali gus menyukarkan pencabar lain dalam jawatankuasa pusat untuk menandinginya.

azmi hassan
Azmi Hassan.

“Besar kemungkinan beliau akan mendapat jumlah (undian) tertinggi kerana dilihat tiada tandingan dalam kalangan pencabar Ahli Jawatankuasa PAS Pusat…beliau menteri besar Kedah dan (ketua) pengarah pilihan raya, beliau dikatakan begitu popular sekali.

“Namun, jika beliau berada di kedudukan kedua atau ketiga berbanding pada 2023 iaitu di tempat pertama, maka sedikit-sebanyak akan memberi impak negatif kepada Sanusi. Tapi, bagi saya tidak menjadi negatif sangat kerana beliau tidak mencabar jawatan lain,” katanya kepada FMT.

Azmi mengulas keputusan Sanusi menolak pencalonan naib presiden dan cabaran bakal dihadapi untuk mengekalkan undian tertinggi dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat (JKPP), Wan Rohimi Wan Daud, mengesahkan Sanusi antara 30 calon akan merebut kerusi AJK PAS Pusat.

Beliau bakal berdepan antaranya Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari dan bekas menteri besar Perlis Shahidan Kassim.

Pada 30 Ogos, Sanusi menegaskan sekali lagi pendiriannya tidak merebut jawatan naib presiden PAS untuk kali ketiga, sebaliknya memilih mempertahankan kerusi AJK pusat bagi penggal 2025-2027.

Mengulas lanjut, Azmi bagaimanapun berkata siapa pun yang berada di kedudukan teratas dalam AJK pusat tidak banyak memberi kelebihan dari sudut kuasa.

“Tapi dari segi aura, keseluruhannya penting untuk dia (Sanusi) menjadi pilihan utama dalam AJK pusat lebih-lebih lagi selepas menarik diri dalam pencalonan naib presiden,” katanya.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata kedudukan Sanusi dalam PAS bergantung kepada sejauh mana sokongan diterima pada pemilihan kali ini.

Katanya, walaupun Sanusi popular, tidak semua ahli PAS setuju dengan gaya kepimpinannya apatah lagi beliau bukan daripada kelompok kepimpinan ulama.

“Jadi, memang penting untuk Sanusi dapatkan undian tinggi untuk justify (beri alasan kukuh) kedudukannya terutama di Kedah. Kalau tidak, dia mungkin digantikan. Saya lihat peluang dia macam 50-50 sebab populariti Sanusi macam dah kurang sedikit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.