
Anak lelakinya yang turut dituduh mengaku salah, namun dilepaskan dengan bon berkelakuan baik sebanyak RM10,000 memandangkan dia masih menyambung pengajiannya di University of Reading, United Kingdom.
Tertuduh, Mariyah Yaakob, 48, dan Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 23, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman, lapor Sinar Harian.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membuat penyataan dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu melakukan kesalahan terhadap mana-mana kaum lain.
Perbuatan itu dilakukan menerusi rakaman video di aplikasi TikTok dan telah ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai, Melaka, pada 6 petang, 16 Nov 2023.
Pendakwaan terhadap ibu tunggal tiga orang anak itu dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, anaknya yang juga pengarah syarikat Mariyah Holding didakwa secara sedar menggunakan aplikasi TikTok di alamat sama dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan ibunya mengatakan kenyataan jelik itu antara 14 hingga 16 Nov 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pengarah Pendakwaan Melaka Ahmad Sazali Omar, dalam prosidingnya mencadangkan hukuman setimpal dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan mereka telah menyentuh begitu serius isu 3R.
Katanya, walaupun kedua-dua tertuduh telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia menerusi media sosial, namun ia bukan alasan untuk diringankan hukuman.
Peguam kedua-dua tertuduh, Kamal Hisham Jaafar dalam rayuannya memohon hukuman ringan dikenakan dengan alasan pengakuan salah dibuat anak guamnya telah menjimatkan masa mahkamah.
Dalam hujahan, Kamal Hisham berkata, permohonan maaf yang pernah dilakukan di media sosial membuktikan kedua-duanya benar-benar telah insaf dan tidak akan mengulanginya.
Azaraorni memerintahkan Mariyah membayar denda RM40,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.
Mariyah yang berbaju hijau kemudian dilihat membayar denda berkenaan selepas hukuman itu dijatuhkan.
Sebelum ini, tular video di media sosial menunjukkan seorang wanita yang mengaku asal Kemboja, tetapi sudah lama bermastautin di negara ini mengadakan penstriman langsung di sebuah gedung pakaian Muslimah.
Dia mendakwa orang Kemboja sememangnya pandai dan rajin berniaga berbanding orang Melayu yang malas, namun pada akhir rakaman video berkenaan, menyatakan dia hanya bergurau dan memohon maaf, disusuli permohonan maaf yang diulang pada hantaran berasingan.