
Majistret Chia Huey Ting menjatuhi hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah manakala lapan lagi minta dibicarakan.
Mahkamah turut memerintahkan Khairul Ezham Khairul Eddy, 20, Muhammad Syafril Haikal Mohd Fazli, 20, Muhammad Aliff Aliman Mazlan, 21, Mohammad Alif Ikhram Mohd Hashim, 23, Ahmad Afiifuddin Selamat, 25, Muhammad Asrul Nazrul Haizam, 22, Mohd Syafik Abdullah, 20, Nornikman Noor Din, 33, Nor Azira Zaidi, 40 dan Ahmad Ameeruddin Selamat, 22, dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.
Mereka didakwa bergaduh dan melakukan kesalahan merusuh di hadapan Queen Waterfront Q1, Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas pada 2.30 pagi 23 Nov lepas mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong memohon hukuman setimpal kerana insiden itu berlaku di kawasan awam, dan berkata ia boleh menjadi teladan kepada orang lain.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Edric Loo, yang mewakili semua tertuduh, merayu hukuman ringan atas alasan mereka masih muda dengan sebahagian besarnya bekerja di kilang dengan berpendapatan tidak melebihi RM1,800 sebulan dan ada yang masih belajar.
Mahkamah menetapkan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh yang mengaku tidak bersalah dan 26 Feb 2025 untuk sebutan semula kes.
Mereka ialah Mohamed Ammar Mohamed Ghani, 19, Muhammad Aiman Ibrahim, 19, Aszaifudin Hamid Mohaideen, 19, Muhammad Nur Zuhairi Noordin, 19, Muhammad Adzlie Hakim Muhammad Nasir, 19, Muhamad Fahrein Addenan, 19, Alyssa Sofieya Mazlan, 19, dan Muhammad Nor Isma Haikal Nor Ismadi, 20.
Isma turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan Ezham dalam insiden sama, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dia dibenarkan ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.