
Lim berkata, perkara itu dipersetujui setelah beliau berbincang dengan pelbagai agensi kerajaan berkaitan.
“Hasil perbincangan dipersetujui bahawa tiada tindakan meroboh rumah, kedai atau kilang akan dilakukan esok,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut mengenai tindakan undang-undang yang mungkin diambil oleh penyewa tanah tersebut, Lim bagaimanapun berkata pihaknya akan menunggu dan melihat perkembangannya.
Lim berkata tanah tersebut adalah hak kerajaan yang dimiliki bersama seluruh rakyat dan bukan untuk diwarisi atau disewakan oleh segelintir keluarga.
“Persoalan asas tetap sama. Adakah kira-kira 30 hingga 40 keluarga dan peniaga ini pernah memohon untuk menyewa rumah kos rendah kerajaan? Atau mereka hanya menunggu kerajaan datang mencari mereka?”
Isnin lalu, 37 keluarga di Taman Jinjang Baru dilaporkan menerima notis pengosongan daripada Mahkamah Tinggi yang disalurkan melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan.
Aktivis khidmat komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, mereka diarahkan mengosongkan rumah yang didiami lebih 60 tahun pada esok.
Sebelum ini, seramai 38 peniaga di Jinjang Selatan Tambahan turut dilaporkan meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila notis pengusiran paksa dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada mereka, 9 Julai lalu.
Setiausaha Gabungan Persatuan Isu Pampasan dan Perumahan Jinjang Selatan Tambahan, Ameer Khan Bargathalli mendakwa pihaknya hanya ditawarkan pampasan bernilai RM5,000, berbanding dengan nilai semasa premis yang mencecah RM300,000 hingga RM400,000.
Bagaimanapun, DBKL kemudian menafikan dakwaan itu serta menegaskan segala tindakan berpandukan rekod rasmi dan fakta yang disahkan serta kuasa di bawah seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.