Wang simpanan lebih RM150,000 lenyap, wanita terpedaya pinjaman tak wujud

Wang simpanan lebih RM150,000 lenyap, wanita terpedaya pinjaman tak wujud

Mangsa mendakwa diperdaya pada 11 Nov lalu selepas terlihat iklan pinjaman wang di Facebook yang menggunakan nama dan logo sebuah bank tempatan.

Mangsa melakukan 18 kali transaksi pembayaran ke dalam 14 akaun bank berbeza yang keseluruhannya berjumlah RM156,468, kata Ketua Polis Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak.
PETALING JAYA:
Seorang juru kecantikan berputih mata apabila wang simpanan lebih RM150,000 lenyap akibat terpedaya dengan tawaran pinjaman tidak wujud.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa wanita tempatan berusia 28 tahun berhubung kejadian terbabit pada 20 Nov lalu

Katanya, mangsa mendakwa diperdaya pada 11 Nov lalu selepas terlihat iklan pinjaman wang di Facebook yang menggunakan nama dan logo sebuah bank tempatan.

“Mangsa yang berminat untuk memulakan perniagaan sendiri berhubung dengan wakil pinjaman itu melalui aplikasi WhatsApp dan diberi penerangan lebih lanjut mengenai syarat-syarat pinjaman.

“Mangsa dijanjikan proses yang mudah dan kelulusan segera dengan syarat mangsa membuat beberapa bayaran pendahuluan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini, menurut Harian Metro.

Sohaimi berkata, mangsa kemudiannya bersetuju untuk membuat pinjaman RM300,000 dan mengikut arahan suspek untuk membuat transaksi pembayaran ke akaun berbeza.

Katanya, mangsa melakukan 18 kali transaksi pembayaran pada 16 Nov hingga 20 Nov lalu ke dalam 14 akaun bank berbeza yang keseluruhannya berjumlah RM156,468.

“Bagaimanapun, wang pinjaman dijanjikan masih tidak diterima dan suspek masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan.

“Mangsa yang mula berasa curiga membuat semakan di bank berkenaan dan dimaklumkan bahawa pinjaman terbabit tidak wujud.

“Berikutan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.