Terpedaya janji untung pelaburan 50%, lelaki rugi RM380,000

Terpedaya janji untung pelaburan 50%, lelaki rugi RM380,000

Suspek enggan beri mangsa wang hasil pelaburan malah diminta menambah.

scammers
Mangsa telah ditawarkan pelaburan berkenaan oleh seorang individu yang baru dikenali di WhatsApp.
KOTA TINGGI:
Seorang lelaki berusia 51 tahun kerugian sebanyak RM380,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp dengan janji pulangan lumayan.

Ketua Polis Kota Tinggi Yusof Othman berkata mangsa telah ditawarkan pelaburan berkenaan oleh seorang individu yang baru dikenali di aplikasi tersebut.

Beliau berkata modus operandi skim itu ialah menjanjikan mangsa keuntungan sehingga 50% daripada jumlah wang dilaburkan dalam tempoh hanya satu minggu.

“Tertarik dengan keuntungan tersebut, mangsa telah membuat lapan transaksi ke dalam dua akaun yang berbeza untuk pelaburan itu bermula 10 Okt hingga 15 Okt, dengan keseluruhan berjumlah RM380,000.

“Namun ketika mangsa menghubungi suspek semalam (21 Okt) untuk menuntut wang hasil pelaburan itu, suspek tidak mahu memberikannya malah meminta mangsa menambah wang pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusof berkata selepas menyedari dirinya telah ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan skim pelaburan yang tidak sah atau tidak berdaftar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.