Wanita rugi lebih setengah juta ditipu pelaburan tak wujud

Wanita rugi lebih setengah juta ditipu pelaburan tak wujud

Peniaga berusia 55 tahun itu mula berurusan dengan suspek yang tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp selepas tertarik dengan keuntungan lumayan.

scammer
Mangsa melihat paparan keuntungan dalam aplikasi pelaburan namun disekat apabila cuba mengeluarkan wang tersebut, kata Ketua Polis Batu Pahat Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani.
BATU PAHAT:
Seorang peniaga wanita kerugian RM571,242 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui iklan di Facebook.

Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata mangsa berusia 55 tahun itu mula berurusan dengan suspek yang tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp selepas tertarik dengan tawaran pulangan keuntungan tinggi yang diiklankan pada 16 Mac 2024.

“Antara 10 hingga 31 Julai lepas, mangsa membuat beberapa transaksi ke tiga akaun bank berbeza berjumlah RM571,242. Mangsa kemudian melihat paparan keuntungan sebanyak RM804,000 dalam aplikasi pelaburan tersebut.

“Bagaimanapun, apabila cuba mengeluarkan wang tersebut akaun berkenaan didapati disekat. Mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Shahrulanuar Mushaddat menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan mendapatkan maklumat terkini mengenai jenayah komersial melalui portal rasmi Cyber Crime Alert.

Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan juga disaran segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan pantas menyekat pengaliran keluar wang dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.