
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata wanita berusia 60 tahun itu membuat laporan semalam memaklumkan beliau melihat iklan pelaburan di Facebook pada 17 Jun lalu yang menjanjikan keuntungan luar biasa sehingga 94% dalam tempoh sehari.
“Tertarik dengan tawaran lumayan itu, mangsa menghubungi nombor telefon tertera sebelum dimasukkan ke kumpulan WhatsApp yang kononnya memberi tunjuk ajar cara bermain saham.
“Dalam tempoh sembilan hari, dari 17 hingga 26 Jun lalu, mangsa membuat 20 transaksi berjumlah RM286,337 ke beberapa akaun bank berbeza milik individu tempatan,” katanya menurut Berita Harian.
Raub berkata, setiap kali mangsa cuba mengeluarkan keuntungan, suspek memberi pelbagai alasan dan meminta bayaran tambahan menyebabkan mangsa sedar diperdaya.
Katanya, mangsa kemudian mencari khidmat guaman untuk membantu mendapatkan semula wang itu dan menghubungi seorang individu mengaku wakil sebuah firma guaman, sebelum dimasukkan ke kumpulan WhatsApp.
“Mangsa diajar cara mendapatkan semula wang, tetapi diminta membuat pembayaran bagi urusan guaman.”
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat tujuh transaksi berjumlah RM180,900 ke tujuh akaun berbeza dari 4 Julai hingga 2 Ogos lalu dan hanya sedar diperdaya selepas terus diminta membuat bayaran.
“Hasil semakan mendapati 23 akaun terbabit mempunyai 24 rekod penipuan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.