
Kejadian dikatakan berlaku selepas mangsa berusia 65 tahun itu tertarik dengan satu iklan pelaburan menjanjikan pulangan lumayan ketika melayari internet pada 15 Ogos lalu.
Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh berkata, sindiket terbabit menjanjikan pulangan itu dalam tempoh singkat sebelum meminta mangsa mendaftar menerusi pautan diberikan selepas berhubung dengan ‘ejen pelaburan’.
Katanya, mangsa kemudiannya membuat pembayaran berjumlah RM261,420 ke dalam empat akaun bank berbeza secara berperingkat.
“Pembayaran dibuat antara 2 November hingga 23 Disember lalu dan mangsa mendapati terdapat keuntungan berjumlah RM500,000 dalam akaun pelaburannya,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun diminta membuat pembayaran lagi jika mahu mengeluarkan keuntungan.
“Sedar dirinya ditipu, dia kemudiannya membuat laporan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.