Diperdaya sindiket pelaburan tak wujud, lelaki rugi RM500,000

Diperdaya sindiket pelaburan tak wujud, lelaki rugi RM500,000

Mangsa terpengaruh dengan janji keuntungan lumayan, sebelum memuat turun satu aplikasi dan mula melabur.

Scammer-Hacker
Mangsa melakukan 22 transaksi ke enam akaun berasingan namun selepas pembayaran dia tidak dapat mengaksesnya, kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Alwi Zainal Abidin.
GEORGE TOWN:
Bekas pembantu penyelia gudang di Singapura kerugian RM500,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud di Sungai Bakap, dekat sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata lelaki berusia 53 tahun itu terjumpa iklan di Facebook yang mempromosikan pelaburan saham pada 21 Mac lepas, sebelum berhubung dengan seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai “Liane”.

“Suspek memperkenalkan mangsa dengan pelaburan melalui aplikasi mudah alih yang menawarkan pulangan tinggi dalam tempoh singkat. Terpengaruh dengan janji keuntungan lumayan, mangsa memuat turun aplikasi itu serta mula melabur.

“Bermula 22 Mac hingga 24 Jun, lelaki itu telah melakukan 22 transaksi ke enam akaun bank berasingan yang disediakan suspek melibatkan jumlah keseluruhan RM500,000. Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat mangsa tidak dapat mengakses aplikasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Alwi berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket tersebut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.