Pegawai perubatan rugi RM2.6 juta terpedaya untung hingga 15%

Pegawai perubatan rugi RM2.6 juta terpedaya untung hingga 15%

Polis berkata mangsa membuat 56 kali pindahan wang berjumlah RM2,603,900 ke lapan akaun bermula 25 Mei hingga 8 Ogos lalu.

Scammer-Hacker
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata mangsa dijanjikan pulangan pelaburan 5% hingga 15% menerusi pelaburan dengan sebuah syarikat asing.
JOHOR BAHRU:
Seorang pegawai perubatan kerugian RM2.6 juta kerana menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud di media sosial.

Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata lelaki tempatan berusia 45 tahun itu melihat satu iklan pelaburan pada 25 Mei lalu, sebelum menekan pautan WhatsApp tertera dan berhubung dengan suspek.

Beliau berkata, mangsa dijanjikan pulangan pelaburan 5% hingga 15% menerusi pelaburan dengan sebuah syarikat asing dan diminta memuat turun sebuah aplikasi kononnya untuk memantau pelaburannya.

“Percaya dengan keuntungan segera dijanjikan, mangsa membuat 56 kali transaksi pindahan wang berjumlah RM2,603,900 ke lapan akaun bank seperti diarahkan suspek bermula 25 Mei hingga 8 Ogos,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mangsa menyedari diperdaya selepas gagal membuat pengeluaran wang pelaburan melalui aplikasi diberikan dan membuat laporan polis semalam untuk kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

Beliau menyeru orang ramai lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya pelaburan menjanjikan keuntungan tanpa risiko atau memberi jaminan pasti untung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.