Pesara guru maut ditikam anak kandung

Pesara guru maut ditikam anak kandung

Sebelum kejadian mangsa cuba pujuk anak lelaki yang juga OKU agar tidak membunuh diri.

Ketua Polis Kuala Pilah Amran Mohd Ghani, berkata suspek dipercayai mengalami halusinasi, namun bertindak agresif lalu menikam bapanya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pesara guru maut ditikam anak kandung yang dipujuk agar tidak membunuh diri dalam kejadian di Kampung Senaling, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Dalam kejadian pada 4.40 petang, warga emas berusia 65 tahun itu dibunuh anak lelaki yang juga orang kurang upaya, sebelum suspek turut ditemukan meninggal dunia di tepi jalan dalam keadaan terbaring dengan mulut berbuih.

Ketua Polis Kuala Pilah Amran Mohd Ghani, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai seorang lelaki meninggal dunia akibat ditikam menggunakan senjata tajam.

“Siasatan mendapati mangsa seorang pesara guru dan ketika kejadian isterinya turut berada di dalam rumah berkenaan.

“Pemeriksaan pada badan si mati menemukan satu kesan tikaman pada bahagian belakang badan, dengan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Senjata tajam dipercayai digunakan dalam kejadian ini turut ditemui di rumah berkenaan, manakala suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta,” katanya menurut Berita Harian.

Amran berkata, suspek berusia 32 tahun kemudian dikesan dan ditemui di tepi jalan dalam keadaan terbaring dengan mulut berbuih, dan disahkan meninggal dunia.

“Motif kejadian dipercayai suspek mengalami halusinasi dan cuba bunuh diri. Ketika dipujuk bapanya, suspek tiba-tiba bertindak agresif dan menikam mangsa.

Beliau berkata, mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.