
Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pembelaan Mohd Rafi Abd Rahman, 61, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Tertuduh dijatuhi hukuman 10 bulan penjara dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara, jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan,” katanya menurut Berita Harian.
Hakim memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini, menjadikan tempoh keseluruhan selama 10 bulan.
Rafi didakwa memberi suapan RM600 selama enam bulan kepada seorang pemeriksa kereta motor Gred AB29 di JPJ Melaka sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori mempunyai pelekat ‘Pepsi’ atau ‘Saudagar’ atas kesalahan melebihi muatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir kereta JPJ Bukit Katil di Melaka antara 1 Julai 2018 hingga 31 Dis 2018.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman berat terhadap tertuduh kerana rasuah kesalahan serius yang memberi kesan buruk kepada sistem penguatkuasaan negara.
Beliau berkata, hukuman ringan tidak akan memberi kesan pencegahan dan pengajaran sewajarnya kepada tertuduh yang bersara tahun ini.
“Sebagai penjawat awam yang diamanahkan menguatkuasakan undang-undang, tertuduh bersekongkol dalam sindiket membabitkan orang awam, orang tengah dan pengusaha lori demi mengelak tindakan undang-undang.”
Peguam Azrul Zulkifli Stork memohon hukuman ringan atas alasan ini kesalahan pertama anak guamnya yang turut menyara isteri dan pencennya kini disekat.
Beliau turut memohon pelaksanaan hukuman ditangguhkan bagi memfailkan rayuan, tetapi dibantah pihak pendakwaan yang berhujah jaminan patut dinaikkan jika mahkamah membenarkan penangguhan.
Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu dengan syarat notis rayuan perlu dikemukakan hari ini, manakala jumlah jaminan RM12,000 dikekalkan.