Fitnah ‘rangkaian dedak’, Syed Saddiq mohon maaf

Fitnah ‘rangkaian dedak’, Syed Saddiq mohon maaf

Permohonan maaf secara terbuka di mahkamah menyelesaikan kes saman ahli perniagaan Habibul Rahman Kadir Shah terhadap Syed Saddiq.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kesal dan memohon maaf atas kenyataan fitnah mencemarkan reputasi dan merosakkan imej Habibul Rahman Kadir Shah.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat permohonan maaf secara terbuka kerana mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap seorang ahli perniagaan Habibul Rahman Kadir Shah dalam satu sidang media pada 2017.

Permohonan maaf dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sekali gus menyelesaikan kes saman fitnah Habibul yang juga bekas penasihat Najib Razak terhadap Syed Saddiq, lapor Harian Metro.

Syed Saddiq, 31, yang membaca pernyataan maaf itu di kandang saksi di hadapan Hakim Norakhmar Mohd San dan Habibul, 68, berkata beliau dengan ikhlas hati memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada plaintif.

“Dalam sidang media itu, saya merujuk kepada ancaman yang dibuat terhadap diri saya dan keluarga menjelang PRU14 dan menegaskan bahawa ancaman itu benar-benar berlaku terhadap saya dan keluarga.

“Namun begitu, saya kemudiannya menerima maklumat lanjut dan kini menyedari bahawa ketika membuat kenyataan fitnah itu, saya disesatkan oleh beberapa pihak yang menyebabkan saya percaya bahawa apa yang saya alami pada tempoh itu adalah disebabkan oleh Habibul Rahman,” katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau kesal dan memohon maaf atas kenyataan fitnahnya sehingga menyebabkan pelbagai masalah dan kesulitan serta mencemarkan reputasi dan merosakkan imej plaintif.

Beliau juga mengakui kenyataan fitnahnya mengenai Habibul timbul daripada maklumat yang mengelirukan yang disampaikan tetapi kini tahu maklumat itu adalah palsu dan tidak benar.

“Saya dengan setulus hati memohon maaf tanpa syarat kepada Habibul dengan harapan permohonan maaf ini dapat membersihkan nama baik beliau serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi di antara saya dan Habibul.

“Saya beraku janji bahawa saya tidak akan sama sekali mengulangi kenyataan fitnah dan menyinggung atau apa-apa kata kesat yang seakan-akan dengannya pada masa hadapan terhadap Habibul,” katanya.

Terdahulu, peguam Habibul, Jahaberdeen Mohamed Yunoos memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak-pihak terbabit mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik dan defendan akan membuat permohonan maaf kepada plaintif di mahkamah terbuka.

Mahkamah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan itu berdasarkan permohonan maaf defendan dan terma penyelesaian serta melapangkan tarikh perbicaraan esok.
Mahkamah sebelum ini menetapkan empat hari bermula 1 Okt lalu untuk perbicaraan kes saman fitnah itu.

Habibul pada 16 Nov 2021, Habibul memfailkan saman terhadap Syed Saddiq atas dakwaan memfitnah selepas mengaitkannya dengan satu ‘rangkaian dedak’ menawarkan rasuah kepada ahli Bersatu.

Menurut laporan, Syed Saddiq yang ketika itu ketua Pemuda Bersatu mendakwa terdapat rangkaian ugutan dan sogokan yang begitu sistematik untuk mempengaruhi pemimpin Bersatu keluar parti pada 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.