Taman Desa terlebih pembangunan, penduduk beritahu PM

Taman Desa terlebih pembangunan, penduduk beritahu PM

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa kerajaan dan DBKL memastikan garis panduan PlanMalaysia diikuti untuk memastikan pembangunan lestari.

Sebanyak 16 kumpulan penduduk di Taman Desa berkata pembangunan berlebihan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan merosakkan pemandangan.
PETALING JAYA:
Sebanyak 16 kumpulan penduduk di Taman Desa, Kuala Lumpur, menulis surat kepada perdana menteri menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pembangunan berlebihan, yang menurut mereka menyebabkan kesesakan lalu lintas dan merosakkan pemandangan.

“Kami telah menyuarakan bantahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), serta melalui wakil rakyat kami, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, tetapi bantahan kami tidak diambil serius oleh kerajaan.

“Sebaliknya, lebih banyak projek kondominium yang padat dibangunkan di Taman Desa dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata kumpulan itu dalam surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Surat itu bagi menyuarakan kebimbangan mengenai kelulusan diberikan kepada pemaju hartanah, Mah Sing Group, untuk membina projek perumahan dengan ‘nisbah plot terlalu tinggi’, yang menurut penduduk akan memburukkan lagi keadaan mereka.

Mereka meminta Anwar bertindak terhadap pembangunan berlebihan di kawasan itu, termasuk menghentikan semua pembangunan komersial dan perumahan berkepadatan tinggi di Taman Desa.

Penduduk menggesa Anwar mengarahkan DBKL dan semua agensi berkaitan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menaik taraf kemudahan di perbandaran tersebut, termasuk jalan raya, longkang, laluan pejalan kaki dan taman rekreasi.

Mereka juga mahu lebih banyak sekolah dan kemudahan disediakan untuk menampung pertambahan penduduk, dan menambah baik hubungan jalan raya dan pengangkutan awam.

Surat itu ditandatangani wakil Persatuan Penduduk Taman Desa dan penduduk kawasan Parlimen Seputeh, pengerusi masjid Al-Muhsinin, badan pengurusan kondominium Danau Murni, Residensi Desamas, Desa Satumas, Danau Idaman, Tiara Faber, Iris Apartments dan Merc Residence, serta Majlis Kediaman Sub Zon 1 Seputeh dan Persatuan Harapan Borneo.

Kemudahan Taman Desa perlu dinaik taraf, kata Kok

Dalam surat berasingan kepada perdana menteri, Teresa Kok berkata kawasan tersebut menyaksikan 10 projek perumahan baharu yang melibatkan penambahan 5,887 unit rumah, termasuk 1,967 rumah mampu milik.

Beliau berkata, projek Mah Sing akan melibatkan pembinaan lagi 1,612 unit apartmen perkhidmatan dan juga 800 unit lagi di bawah skim perumahan mampu milik Residensi Madani oleh kerajaan.

“Pembangunan ini akan meningkatkan jumlah rumah di kawasan ini kepada 8,299 unit. Jika setiap rumah didiami empat orang, penduduk Taman Desa akan meningkat kepada 33,196 orang,” katanya.

Kok berkata, kawasan Taman Desa kini hanya mempunyai dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah.

Katanya, berdasarkan garis panduan perancangan kemudahan komuniti PlanMalaysia, kerajaan perlu menambah sebanyak 288 bilik darjah sekolah rendah dan menengah bagi menampung peningkatan jumlah penduduk.

Tambahnya, mengikut garis panduan tersebut, kerajaan perlu membina klinik kesihatan yang bersesuaian, membina dewan komuniti, dan meningkatkan kehadiran polis di kawasan itu.

Kok turut menyatakan keperluan untuk memperbaiki jalan raya, sistem perparitan, serta menaik taraf taman rekreasi dan kemudahan lain yang akan meningkatkan akses kepada pengangkutan awam, termasuk jejambat, laluan basikal dan laluan pejalan kaki.

Teresa Kok.

“Saya menggesa perdana menteri untuk mengarahkan DBKL menaikkan peruntukan untuk kemudahan di Taman Desa dengan menggunakan caj pembangunan yang dibayar oleh pemaju di kawasan itu,” katanya dalam surat itu.

Kok memuji usaha perdana menteri dalam menyediakan perumahan Madani untuk memenuhi keperluan golongan muda dan mereka yang tidak mampu memiliki rumah.

“Bagaimanapun, sebarang peningkatan populasi mesti diiringi dengan peningkatan kemudahan yang diperlukan untuk memastikan pembangunan yang lestari,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.