
Beliau berkata pentadbiran Pakatan Harapan (PH) ketika itu boleh menyerap projek berkenaan dalam perancangannya memandangkan manifesto pilihan raya PH 2018 berjanji untuk membina satu juta rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.
Zuraida berkata projek Bestari Jaya itu, walaupun pada asalnya diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu, masih boleh diteruskan walaupun BN tewas dalam PRU pada 9 Mei 2018.
“Pendahulu saya, Noh Omar (daripada BN) juga telah menjelaskan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi projek tersebut,” katanya ketika ditanya peguam Nizamuddin Hamid.
Zuraida memberi keterangan dalam pembelaannya terhadap saman fitnah yang difailkan oleh Lim, yang turut menamakan penerbit MalaysiaNow, MNow Media Sdn Bhd, dan editor Abdar Rahman Koya sebagai defendan, dengan mendakwa laporan itu diterbitkan ‘untuk publisiti murahan’.
Lim dan Zuraida pernah jadi rakan sejawat dalam Jemaah Menteri antara Mei 2018 hingga Februari 2020 ketika PH berkuasa di bawah perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.
Pada 6 Mei 2024, semasa kempen PRK Kuala Kubu Bharu, kerajaan perpaduan pimpinan PH yang mengambil alih pentadbiran pada 2022 mengumumkan rancangan untuk membina 200 unit flat bagi bekas pekerja ladang di Bestari Jaya.
Calon PH, Pang Sock Tao dari DAP, yang akhirnya memenangi kerusi tersebut, berdepan pertandingan empat penjuru dalam PRK itu.
Lim yang memberi keterangan semalam berkata dakwaan Zuraida memberi kesan buruk kepada reputasinya, terutamanya di kalangan pengundi India yang ramai di kawasan itu.
Ahli Parlimen Bagan dan bekas setiausaha agung DAP itu menuntut ganti rugi RM5 juta.
Lim berkata bekas setiausaha politiknya, Tony Pua, pernah menafikan dakwaan Zuraida, dan menegaskan Zuraida sepatutnya ‘berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dan memutar belit fakta’.
Zuraida dan defendan lain bergantung kepada pembelaan justifikasi, komen adil dan keistimewaan bersyarat untuk mengalahkan saman itu.
Beliau berkata kenyataan tersebut dibuat pada 10 Mei 2024 sebagai respons kepada pengumuman kerajaan empat hari sebelumnya.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya bertemu Lim sebanyak dua kali pada 2018 dan 2019 tetapi beliau menolak untuk meneruskan projek tersebut,” katanya.
Zuraida berkata sebagai menteri ketika itu, beliau mahu memikul tanggungjawab untuk memastikan PH menunaikan janji pilihan raya.
Beliau berkata Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Jayaselan Navaratnam, menemaninya ke mesyuarat dengan Lim kerana beliau mahu projek itu diberi keutamaan.
“Di bawah kerajaan terdahulu, ia akan dilaksanakan melalui rundingan terus tetapi kerajaan baharu mahu ia dilaksanakan melalui tender terbuka,” katanya.
Zuraida berkata beliau telah melakukan kerja-kerja asas, termasuk bertemu pemilik hartanah bagi memudahkan penyerahan tanah kepada kerajaan supaya projek itu dapat diteruskan demi kepentingan bekas pekerja ladang.
“Ini merupakan soal pelaksanaan. Namun, ia mendapat maklum balas negatif daripada Lim,” katanya.
Disoal balas oleh peguam SN Nair, yang mewakili Lim, Zuraida bersetuju bahawa kenyataan yang dibuatnya mengenai perumahan untuk pekerja ladang semasa PRK itu adalah sensitif.
Zuraida berkata beliau tidak mengemukakan sebarang dokumen ketika bertemu Lim untuk memohon agar projek itu diteruskan kerana ia sudah tersedia.
Nair: Adakah terdapat apa-apa yang menunjukkan projek itu ditolak?
Zuraida: Tidak, hanya melalui perbincangan.
Nair: Untuk projek ini, anda sepatutnya mengemukakan kertas cadangan.
Zuraida: Secara umumnya ya, tetapi bukan untuk projek ini kerana kerajaan terdahulu telah meluluskannya.
Zuraida berkata beliau tidak mempunyai sebarang rekod dalam bentuk surat atau e-mel mengenai pertemuannya dengan Lim, namun berkata mereka mengadakan dua perbincangan. Bagaimanapun, beliau juga berkata tidak mengingati tarikh tepat pertemuan tersebut pada 2018 dan 2019.
Beliau turut menolak cadangan Nair bahawa pertemuan itu tidak pernah berlaku dan hanyalah rekaan semata-mata.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman D Shoba Rajah bersambung esok dengan Jayaselan dijangka memberi keterangan sebelum pihak pembelaan menutup kesnya.