Tambah penerbangan terus, perbaiki kemudahan pacu pelancongan Sabah, kata menteri

Tambah penerbangan terus, perbaiki kemudahan pacu pelancongan Sabah, kata menteri

Tiong King Sing berkata kerajaan juga cari strategi untuk memastikan pelancongan tinggal lebih lama di Sabah.

Arial view of city - Kota Kinabalu, Sabah
Pelancongan antara sektor utama menyumbang kepada ekonomi Sabah dengan kehadiran ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.
KOTA KINABALU:
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedang sedang mempergiat usaha memperkukuh industri pelancongan di Sabah melalui penambahan penerbangan terus, pembangunan kemudahan dan libat urus bersama pemain industri.

Menterinya Tiong King Sing berkata kementeriannya kini dalam perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan bagi menambah kekerapan dan laluan penerbangan ke Sabah, termasuk penerbangan terus ke Tawau dari beberapa destinasi luar negara.

Tiong King Sing.

“Kita jangka bulan depan akan ada tambahan tiga hingga empat syarikat penerbangan baharu yang membuka laluan terus ke Tawau,” katanya ketika ditemui FMT dalam sesi lawatan ke Telipok.

Namun, Tiong berkata strategi memanjangkan tempoh tinggal pelancong juga sama penting bagi memastikan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.

“Sekarang ini ramai pelancong yang tiba di Tawau terus ke Semporna. Kita mahu mereka singgah di Tawau dahulu, bermalam satu malam supaya industri tempatan seperti hotel, restoran dan peniaga kecil turut menerima manfaat,” katanya.

Beliau turut mengakui kelemahan infrastruktur masih menjadi cabaran kepada perkembangan sektor pelancongan di Sabah.

Menurutnya, kerajaan sedang meneroka pelbagai mekanisme pembiayaan termasuk geran, pinjaman dan kerjasama dengan bank serta pemain industri bagi menaik taraf kemudahan asas yang menyokong sektor pelancongan.

Dalam pada itu, Tiong berkata kerajaan juga sedang meneliti penambahbaikan terhadap pelaksanaan outbound tax bagi meningkatkan hasil yang boleh disalurkan semula kepada projek pembangunan pelancongan.

“Banyak negara seperti Singapura dan Thailand telah lama melaksanakan cukai ini. Kita sedang cari formula yang paling sesuai dengan keadaan negara kita,” katanya.

Beliau menegaskan sektor pelancongan perlu terus diperkasakan kerana ia antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.