Raja Muda Perlis tinjau tapak projek pembangunan PLKN

Raja Muda Perlis tinjau tapak projek pembangunan PLKN

Projek fasa pertama itu kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada 8 April ini.

Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke tapak Projek Pembangunan PLKN 3.0 di Rejimen 504 Askar Wataniah, Kem Bukit Keteri, baru-baru ini. (Gambar Pejabat Raja Muda Perlis) 
PETALING JAYA:
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail baru-baru ini berkenan berangkat melawat tapak Projek Pembangunan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Rejimen 504 Askar Wataniah, Kem Bukit Keteri.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Cawangan Tadbir, Mohamad Shaffar Mat Saad@Yatim, Ketua Cawangan Latih, Ahmad Fauzi Johari, serta Pegawai Staf 2 Pelaksanaan 922 Detasmen UPKAT, Nurul Afiqah Azmi.

Baginda selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah turut diberi taklimat oleh Ketua Detasmen 922 Detasmen UPKAT, Mohammad Amri Khairuddin yang memaklumkan projek fasa pertama itu kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada 8 April ini selain kemasukan peserta bermula pertengahan atau hujung April.

Mohammad Amri berkata skop pembangunan merangkumi penyediaan penginapan, kemudahan sokongan, infrastruktur asas serta kemudahan ibadah dan rekreasi, yang keseluruhannya dirangka bagi menyokong konsep latihan ‘Latih Untuk Perang’ secara lebih berkesan dan berstruktur.

Katanya, pelaksanaan projek dijangka dapat meningkatkan keupayaan latihan serta tahap keselesaan anggota, di samping menyokong matlamat PLKN 3.0 dalam melahirkan generasi pelatih yang berdisiplin, berdaya tahan dan berdaya saing.

“Selain itu, penyediaan fasiliti moden yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini berpotensi menarik penyertaan khususnya golongan profesional di Perlis untuk menyertai Askar Wataniah, selaras dengan penambahbaikan kemudahan dan sistem latihan yang lebih terkini,” katanya.

Tambahnya lagi, kemasukan peserta PLKN ke kem itu dijangka akan memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi masyarakat setempat melalui peningkatan aktiviti sokongan dan perkhidmatan di sekitar kawasan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.