
Terletak kira-kira 68km dari pekan Jerantut, Pahang, kampung ini bergantung hampir sepenuhnya kepada aktiviti pelancongan sebagai nadi ekonomi penduduk setempat.
Bagi anak jati Kuala Tahan, Firdaus Yusri Mad Yunus, 56, perubahan itu disaksikan sendiri sejak dilahirkan di kuarters Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada 1970.

“Daripada sebuah penempatan kakitangan kerajaan, kampung ini berkembang menjadi komuniti yang mandiri hasil aktiviti pelancongan,” katanya kepada FMT.
Menurut Firdaus, hampir 90% penduduk terlibat secara langsung dalam sektor berkenaan, termasuk perkhidmatan bot, pemandu pelancong alam semula jadi, pengurusan inap desa serta perniagaan gerai.
Pemilihan Kampung Kuala Tahan sebagai Kampung Angkat Madani bawah Perhilitan, dengan peruntukan RM1.2 juta, disifatkan sebagai pemangkin penting kepada pembangunan komuniti.
Antara projek dilaksanakan adalah pemasangan panel solar di masjid, penyediaan van jenazah, pembinaan gelanggang futsal serta penambahbaikan kemudahan di tanah perkuburan Islam.

Firdaus berkata, prasarana itu memenuhi keperluan mendesak penduduk dan memberi manfaat kepada pelancong.
“Masjid yang indah dan selesa bukan sahaja memudahkan penduduk, malah menjadi tarikan kepada pelancong domestik dari bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor yang sering tiba lewat malam.
“Kedudukannya yang strategik berhampiran penginapan juga memudahkan pelancong kerana hanya perlu berjalan,” katanya.

Manfaat transformasi itu turut dirasai pengusaha inap desa, Nadhrah Abdul Jalil, 34, yang mencatatkan pendapatan sehingga RM10,000 pada musim puncak.
Katanya, pendedahan kepada promosi dan pemasaran digital membantu menarik pelancong dari dalam serta luar negara.
“Dulu kami hanya bergantung kepada pelancong walk-in. Sekarang maklumat lebih mudah diakses, sekali gus memberi limpahan rezeki kepada peniaga kecil dan sederhana,” katanya.

Ketua Kampung Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman, pula menyifatkan pemilihan sebagai Kampung Angkat Madani adalah pengiktirafan bermakna kepada komuniti setempat.
Katanya, selain keunikan hutan hujan tropika, keramahan penduduk dan keprihatinan terhadap keselamatan pelancong menjadi antara faktor utama daya tarikan kampung.
“Dengan kemudahan masjid yang baik, pemandu pelancong tidak perlu pulang ke rumah untuk berehat di tengah hari. Mereka boleh berehat di masjid sebelum menyambung tugas, sekali gus memudahkan pengurusan waktu kerja mereka,” katanya.

Jalil turut memuji pendekatan kerajaan yang bersifat ‘bottom-up’, membolehkan agensi pelaksana memahami keperluan sebenar penduduk sebelum projek dilaksanakan.
Program Kampung Angkat Madani diperkenalkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 bagi merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar melalui penyediaan kemudahan asas seperti air, elektrik, jalan raya, lampu jalan, kemudahan komuniti dan capaian internet.
Pada 2024, program itu memanfaatkan lebih 83,000 penduduk di 43 kampung terpilih sebelum diperluas kepada 200 kampung pada 2025 dan 500 kampung baharu pada 2026.