
G Nagendaran, 32, membuat pengakuan itu selepas dua tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu, lapor Sinar Harian.
Tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan cermin sebuah Toyota Estima milik Noor Nabila Huda Zaini, 37, dengan anggaran kerugian sebanyak RM100, di luar sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Kesas berhampiran Subang Jaya pada 1 pagi, 7 Ogos lepas.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan kedua, Nagendaran yang juga seorang penganggur didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam dirinya di Balai Polis USJ 8, IPD Subang Jaya pada 5 petang, 8 Ogos lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda tidak lebih RM5,000 serta menjalani perintah pengawasan polis hingga tiga tahun.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi semua kes.
Bagaimanapun, M Partiben selaku peguam mewakili tertuduh merayu kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung isteri dan dua anak, serta ibu bapa yang uzur.
Selepas mendengar permohonan semua pihak, Sasha Diana membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,600 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Nov depan.
Pada Khamis lepas, polis dilaporkan memberkas empat individu kerana disyaki terbabit dalam kejadian dikatakan cubaan samun tersebut.
Empat suspek yang turut memiliki pelbagai rekod jenayah dan dadah itu ditahan di sekitar Klang dan Shah Alam, menurut polis.
Terdahulu tular sebuah kejadian yang dirakam oleh kamera papan pemuka kenderaan menunjukkan sebuah kereta dan motosikal menghalang kenderaan mangsa.
Suspek juga didapati bertindak agresif dengan memecahkan cermin kenderaan berkenaan.