
PDAM berkata langkah kerajaan itu menandakan satu langkah penting ke arah rangka kerja penguatkuasaan yang lebih seimbang dan adil.
“Pengiktirafan liabiliti di pihak pembeli ini merupakan pendirian lama yang diperjuangkan oleh PDAM
“Buat pertama kali, pelaku sebenar yang mempunyai niat iaitu pemandu yang dengan sengaja menyalahgunakan bahan api bersubsidi boleh dipertanggungjawabkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, persatuan itu berkata keberkesanan dan keadilan dasar ini akhirnya bergantung kepada cara ia dilaksanakan dan menegaskan bahawa pengusaha stesen minyak bukannya pegawai penguatkuasa.
Katanya, stesen minyak pada hari ini kebanyakannya beroperasi secara layan diri, dengan tenaga kerja yang terhad untuk melakukan pengesahan masa nyata terhadap setiap kenderaan, khususnya di stesen transaksi tinggi.
“Tanggungjawab penguatkuasaan oleh itu mesti terletak terutamanya pada pihak berkuasa dan sistem, dan tidak dipindahkan kepada pengusaha,” katanya.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata peraturan baharu di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi melarang pembelian petrol RON95 bersubsidi oleh kenderaan berdaftar asing, berkuat kuasa 1 April.
Beliau yang memberitahu Dewan Rakyat melalui peraturan baharu ini kelak, larangan dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap kedua-dua pihak – stesen minyak dan juga pemilik atau pengguna kenderaan berpendaftaran asing.