2 ditahan kes samun menyamar pegawai imigresen

2 ditahan kes samun menyamar pegawai imigresen

Dua lelaki berusia 38 dan 32 tahun ditahan selain polis merampas Proton X70 dipercayai digunakan semasa kejadian, beberapa telefon bimbit, pakaian dan aksesori.

Polis berkata lima lelaki dikatakan masuk ke rumah dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen dan menggeledah kediaman berkenaan.
BUKIT MERTAJAM:
Polis menahan dua lelaki di Kuala Lumpur pada 18 Jan kerana disyaki terlibat dalam samun dengan menyamar sebagai pegawai imigresen.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah (SPT), Helmi Aris, berkata pada 13 Jan lalu pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Ladang Chip Jao, Bukit Tengah pada 10.30 pagi.

“Pengadu adalah seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun memaklumkan enam suspek lelaki berpakaian gelap dan memakai pelitup muka menaiki sebuah kereta Proton X70 telah berhenti di rumahnya.

“Lima lelaki dikatakan telah masuk ke rumah dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen dan menggeledah rumah berkenaan.

“Suspek kemudian mengacukan sebilah parang sebelum melarikan pelbagai barangan berharga termasuk barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit mengakibatkan mangsa kerugian RM4,000,” katanya dalam kenyataan.

Bertindak atas maklumat dan risikan, Helmi berkata sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD SPT menjalankan serbuan di Bukit Jalil dan Ampang pada 18 Jan.

Katanya, dua lelaki tempatan berusia 38 dan 32 tahun ditahan selain polis turut merampas Proton X70 dipercayai digunakan semasa kejadian, beberapa telefon bimbit, pakaian dan aksesori.

Helmi berkata, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta positif dadah jenis metamfetamin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan suspek akan dituduh di mahkamah esok.

Beliau berkata polis masih giat mengesan empat lagi suspek yang masih bebas justeru orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Fakhrul Aiman di talian 016 3374941 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.