Ejen kilang e-sisa mengaku tak salah rasuah pegawai JAS RM50,000

Ejen kilang e-sisa mengaku tak salah rasuah pegawai JAS RM50,000

Soon Kein Chong didakwa memberikan suapan RM50,000 kepada pegawai JAS sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

Mahkamah Sesyen Seremban menetapkan jaminan RM20,000 dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di Pejabat SPRM berdekatan setiap bulan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang ejen kilang menjalankan operasi pelupusan sisa elektronik (e-sisa) secara haram mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memberi rasuah RM50,000 kepada pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sinar Harian melaporkan Soon Kein Chong, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim N Kanageswari.

Dia didakwa memberikan suapan wang tunai RM50,000 kepada pegawai JAS sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

Tertuduh disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Kualiti Alam Sekeling 1974, iaitu tiada lesen premis, tiada kebenaran bertulis daripada ketua pengarah, tiada kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) dan larangan menempatkan buangan terjadual di premis tidak ditetapkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Zamrud, Kawasan Perindustrian Nilai kira-kira 1 tengah hari 12 Feb 2025.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua syarat tambahan.

Peguam Azrul Zulkifli Stork bersetuju dengan jumlah jaminan dan memaklumkan anak guamnya tiada pasport antarabangsa, selain bersedia melaporkan diri di Pejabat SPRM di Seremban setiap bulan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Hakim menetapkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan dan menetapkan sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 12 Feb ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.