3 warga Iran didakwa rompak barang kemas pesara

3 warga Iran didakwa rompak barang kemas pesara

Dua lelaki dan seorang wanita warga asing didakwa rompak pesara berusia 81 tahun pada 9 Jan lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Mazuliana Abdul Rashid benar jaminan RM30,000, tetap sebutan kes 27 Feb ini.
PETALING JAYA:
Tiga warga Iran didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang pesara, yang menyebabkan warga emas itu kerugian RM30,000, awal bulan ini.

Arash Razmkhah, 28, dan Mahdi Javanpour, 18, serta ibu saudara Mahdi, Sahar Javanpour Ahmad, 35, didakwa merompak cincin serta rantai tangan emas milik lelaki berusia 81 tahun itu di depan sebuah rumah di Taman Sri Petaling pada 6.20 petang, 9 Jan lepas.

Ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan itu, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Redzuan tidak menawarkan jaminan kerana ketiga-tiga tertuduh ialah warga Iran.

Bagaimanapun, menurutnya, jika mahkamah menggunakan budi bicara dengan membenarkan jaminan, pihaknya memohon jumlah jaminan yang tinggi berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam K Komagan yang mewakili tiga individu itu memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum memandangkan mereka masuk ke Malaysia menggunakan visa pelancong pada 9 Jan lepas, menanggung keluarga selain tidak membantah syarat tambahan pendakwaan.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid menetapkan sebutan kes pada 27 Feb ini dan membenarkan jaminan RM30,000 dengan dua penjamin warga Malaysia bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.