Polis kenal pasti 2 individu dipercayai terlibat palsu dokumen pemain warisan

Polis kenal pasti 2 individu dipercayai terlibat palsu dokumen pemain warisan

Usaha sahkan identiti sebenar dan kesan kedua-dua individu sedang giat dijalankan, menurut Bukit Aman.

malaysia menentang vietnam
Pada September tahun lepas, Fifa ambil tindakan terhadap FAM dan 7 pemain warisan negara selepas FAM didapati kemuka dokumen palsu untuk sahkan kelayakan pemain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis telah mengenal pasti bahawa dua individu dipercayai terbabit dalam pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikemukakan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) semasa proses pendaftaran mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan awal polis mendapati proses naturalisasi tujuh pemain warisan itu dibuat melalui proses yang teratur dan mengikut prosedur ditetapkan.

“Siasatan menjurus kepada elemen penipuan dan pemalsuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan semasa proses pendaftaran serta pengemukaan dokumen pemain-pemain yang terlibat kepada Fifa.

“Usaha untuk mengesahkan identiti sebenar dan mengesan kedua-dua individu yang terlibat sedang giat dijalankan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, setakat ini polis telah menerima 45 laporan berkaitan isu berkenaan dan percakapan 43 individu telah dirakam, termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta saksi awam, bagi melengkapkan siasatan.

Sebelum ini, Pemangku Presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihak membuat laporan polis selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) susulan siasatan pada Disember lepas.

Pada September tahun lepas, Fifa mengambil tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan negara selepas FAM didapati mengemukakan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

Ekoran itu, FAM didenda 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Swiss (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada sebarang kegiatan berkaitan bola sepak berkuat kuasa dari tarikh pemakluman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.