
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Che Ruzima Ghazali berkata Peguam Negara, yang juga pendakwa raya, diberi kuasa di bawah Seksyen 177A untuk memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi.
“Pendirian kami adalah bahawa Peguam Negara diberikan kuasa budi bicara yang luas di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan tindakan jenayah di Mahkamah Tinggi atau mahkamah rendah,” kata hakim itu.
Che Ruzima, yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan Azmi Ariffin, berkata demikian dalam membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi bahawa kes penculikan tersebut didengar oleh hakim Mahkamah Sesyen.
Panel juga memerintahkan bahawa kes tersebut didengar oleh hakim Mahkamah Tinggi yang sama.
Kes itu dijadual untuk sebutan semula di hadapan Hakim K Muniandy pada 14 Ogos.
Pada tahun lalu, Muniandy memindahkan kes yang dibawa di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 ke Mahkamah Sesyen kerana hukuman yang ditetapkan untuk kesalahan tersebut tidak lagi membawa hukuman mati.
Di bawah pindaan undang-undang itu yang berkuat kuasa tahun lalu, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara antara 30 hingga 40 tahun. Pesalah lelaki di bawah umur 50 tahun juga boleh dikenakan sebatan sehingga 24 kali.
Sebelum ini, kes penculikan di bawah peruntukan tersebut akan didengar di Mahkamah Tinggi kerana hakim perbicaraan diberikan budi bicara untuk mengenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan sebatan bagi pesalah lelaki di bawah umur 50 tahun.
Seramai 13 orang yang didakwa terlibat dalam penculikan lelaki Palestin itu pada asalnya didakwa di Mahkamah Majistret.
Tertuduh terdiri daripada Edy Ko’im Said, 42; Mohamad Norakmal Hassan, 43; Dody Junaidi, 44; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41; Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 23; Nidarahayu Zainal, 36; dan Raibafie Amdan, 41; Mohd Zaidi Mohd Zain, 56; dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51.
Mereka dituduh menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda, 31, di Jalan Mayang di Kuala Lumpur, pada 28 Sept 2022 untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana majistret tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara tersebut.
Bagaimanapun, Muniandy mengarahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen selepas Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dikuatkuasakan.
Pada 2 Feb, semua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali.
Mereka juga tidak dibenarkan diikat jamin, dengan Siti Aminah mengarahkan semua tertuduh direman di penjara sementara menunggu kes selesai.