
Saifuddin berkata pertemuan itu bagi mendapatkan gambaran menyeluruh sebelum membuat sebarang kenyataan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi berkait kehilangan dua individu itu.
“Esok pagi saya akan bertemu dengan pegawai dari AGC yang mengendalikan kes ini daripada awal. Tujuannya supaya saya mendapat taklimat lengkap dan gambaran menyeluruh kerana keputusan serta arahan khusus mahkamah adalah termasuk mengarahkan polis membuat siasatan semula.
“Tentang hala tuju siasatan untuk mengklasifikasikan sebagai kes apa dan sebagainya, (keputusan) itu setelah kita mendapat taklimat penuh,” katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Wira Madani 2025 di IPD Putrajaya.
Semalam, Hakim Su Tiang Joo mengarahkan kerajaan dan polis membayar pampasan lebih RM37 juta kepada keluarga Koh atas penglibatan kerajaan dalam penculikannya.
Su turut mengarahkan dua pihak itu membayar lebih RM3 juta kepada keluarga Amri kerana gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap kehilangan aktivis berkenaan.
Saifuddin berkata kes itu merupakan legasi yang diwarisi memandangkan ia berlaku pada 2016 dan 2017, justeru beliau tidak boleh tergesa-gesa mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Saya tak boleh gopoh memberikan sebarang kenyataan. Lebih baik untuk saya terlebih dahulu mendapatkan taklimat lengkap. Untuk rakan-rakan media, saya akan memberikan perkembangan dari masa ke semasa,” katanya.
Amri dilaporkan hilang pada 24 Nov 2016, manakala Koh pada 13 Feb 2017.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata polis mengklasifikasikan semula kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yun Hsi daripada mati mengejut kepada kes bunuh berdasarkan bukti dan maklumat yang dikumpul.
Katanya, penting bagi polis mengklasifikasikan sesuatu kes terlebih dahulu sebelum menentukan arah siasatan.
“Ia merupakan kaedah siasatan serta pembukaan kertas siasatan yang betul. Matlamat utama ialah mencari kebenaran dan memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.
Hsieh ditemui mati di dalam tab mandi di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 22 Okt lalu.
Susulan itu polis menahan reman penyanyi kontroversi Wee Meng Chee, yang lebih dikenali sebagai Namewee.