
Hakim Khadijah Idris membenarkan permohonan Thomas untuk menolak sekurang-kurangnya 22 bahagian daripada penyata saksi setebal 62 muka surat yang disediakan bagi pemeriksaan utama bekas perdana menteri itu.
Khadijah memutuskan bahawa bahagian yang dibuang itu tidak boleh diterima sebagai bukti atas pelbagai alasan, termasuk melanggar Akta Keterangan 1950 dan mengandungi keterangan berbentuk pendapat, termasuk mengenai perkara undang-undang.
Beliau turut mengarahkan frasa ‘keluarga saya’ dipadamkan kerana ia tidak dinyatakan dalam penyataan tuntutan Najib.
Bahagian yang dipertikaikan itu merujuk kepada reaksi Najib terhadap memoir Thomas pada 2021, ‘My Story: Justice in the Wilderness’, yang didakwa memfitnah beliau dan keluarganya berhubung pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Bahan yang dibuang itu juga termasuk rujukan Najib kepada penemuan pasukan petugas khas mengenai buku Thomas, yang mana mahkamah sebelum ini melarang penggunaannya pada peringkat pra-perbicaraan saman itu pada 2022.
Mahkamah turut membatalkan beberapa soalan berbentuk memimpin yang dikemukakan kepada Najib atas alasan soalan tersebut mendorong kepada jawapan tertentu dan yang dikehendaki.
Terdahulu, peguam Najib, Shafee Abdullah, berhujah bahawa hakim sepatutnya mendengar dahulu keterangan dan soalan tambahan yang beliau ingin kemukakan kepada anak guamnya, dan hanya membuat keputusan selepas testimoni selesai, sama ada kenyataan itu boleh diterima atau tidak.
Shafee juga menafikan bahawa Najib telah masuk ke wilayah kehakiman.
“Jika Yang Arif meneliti setiap jawapan yang diberikan, ia tidak melampaui bidang pakar sebenar seorang peguam atau hakim.
“Beliau (Najib) hanya menggunakan istilah mudah yang difahami orang awam seperti ‘hearsay’, ‘prejudice’, ‘unfair’ dan sebagainya,” katanya.
Najib memfailkan saman terhadap Thomas dan penerbit GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd atas dakwaan kandungan fitnah dalam memoir itu.
Aduannya tertumpu pada Bab 42 bertajuk ‘Altantuya’, yang merangkumi muka surat 400 hingga 405.
Najib menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya serta mahu kata-kata dan kenyataan yang dianggap memfitnah dipadamkan.
Beliau juga mahu Thomas dan Gerakbudaya membuat permohonan maaf serta menuntut injunksi kekal bagi menghalang mereka daripada menerbitkan sebarang kenyataan fitnah terhadapnya.
Peguam Alan Adrian Gomez mewakili Thomas, manakala Gokul Radhakrishnan bertindak bagi pihak Gerakbudaya.
Perbicaraan bersambung 17 Nov.