
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, langkah ini bagi memastikan sama ada kapal negara asing itu benar-benar berlabuh di kawasan itu atau hanya sekadar melaluinya.
“Rondaan dilakukan oleh tentera laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) … Perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan ini perairan bebas laluan,” katanya.
“Jadi, dia dianggap sebagai menjejaskan kedaulatan kita kalau bot itu berhenti. Kalau bot (hanya) lalu, kita tidak boleh buat apa-apa, itu undang-undang laut antarabangsa.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Gombak, mengulas laporan sebuah portal berita mengenai kehadiran CCG yang menyukarkan nelayan dan pemancing di Miri, Sarawak untuk turun ke laut.
Kerajaan sebelum ini menegaskan Beting Patinggi Ali milik Malaysia dan tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak lain memandangkan ia di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.
Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika atau 155km dari pantai Miri, secara spesifiknya di Tanjung Baram, Sarawak.