
Ketika berucap pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese, Anwar menegaskan bahawa walaupun Malaysia menitikberatkan hubungan eratnya dengan Beijing, ini tidak bermakna tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan serantau akan dibiarkan.
“Setelah kita peroleh fakta yang sahih, kita akan bangkitkan perkara ini. Libat urus tidak bererti kita restui sebarang tindakan melampau, dan pihak China sedar akan hal itu.
“Dalam pertemuan empat mata saya dengan Presiden Xi Jinping, saya telah nyatakan perkara itu dengan jelas,” katanya kepada pemberita selepas tamatnya Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan.
Menurut Anwar, walaupun lebih kecil, Malaysia tetap berhak menyuarakan pandangan serta kebimbangan berhubung isu-isu yang menjejaskan keamanan dan keselamatan di rantau ini.
Bagaimanapun, beliau menekankan, sebarang maklum balas perlu bersifat berhemah dan diplomatik.
“Kita perlu bijaksana agar tidak bersikap provokatif secara tidak perlu, tetapi kita wajar bangkitkan (isu) setelah fakta diperoleh,” katanya.
“Rantau ini perlu kekal bebas, dan keterpusatan Asean menuntut kita untuk terus berinteraksi serta suarakan kebimbangan apabila perlu.”
Minggu lepas, sebuah jet pejuang China dilapor melepaskan suar berhampiran pesawat peronda maritim Australia yang sedang menjalankan misi tinjauan di Laut China Selatan, menurut Kementerian Pertahanan Australia.
Dalam pada itu, tentera China menyifatkan kejadian itu sebagai tindak balas terhadap ‘pencerobohan’ pesawat Australia ke ruang udaranya di sekitar Kepulauan Paracel, dengan menyatakan pihaknya telah menggerakkan aset tentera laut dan udara untuk memantau serta mengusir pesawat itu, lapor Reuters.
Di luar sidang kemuncak, Albanese berkata, beliau telah membangkitkan insiden tersebut ‘secara langsung dan jelas’ kepada Perdana Menteri China Li Qiang, menurut Australian Broadcasting Corporation.
Insiden tersebut merupakan yang terkini dalam rentetan konfrontasi ketenteraan tegang membabitkan China yang dikritik Australia secara terbuka sejak beberapa bulan lalu.
‘Fasa pertama gencatan senjata Gaza perlu berkesan’
Dalam perkembangan berasingan, Anwar berkata, beliau turut mengadakan perbincangan jujur dengan Presiden AS Donald Trump berhubung pelaksanaan fasa pertama pelan gencatan senjata di Gaza.
“Saya telah berbincang secara peribadi dengan Trump bagi memastikan fasa pertama ini berkesan dan kita dapat beralih kepada penyelesaian konflik yang lebih komprehensif, termasuk cadangan penyelesaian dua negara.
“Zaman ini, apabila kita perkatakan tentang peralihan demokrasi, multilateralisme dan globalisasi, untuk merestui pembunuhan seumpama itu, sesuatu yang sangat tidak boleh diterima, hipokrit,” katanya.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Australia Penny Wong kerana berkongsi pandangan serupa mengenai isu tersebut.