
Majlis menandatangani MoU itu berlangsung sebelum mesyuarat dua hala antara Menteri Pertahanan Khaled Nordin dan Setiausaha Perang AS Pete Hegseth sempena Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean (ADMM) dan ADMM-Plus yang akan berlangsung di ibu negara bermula esok hingga 2 November.
Khaled berkata MoU itu menandakan permulaan kepada satu kerangka formal dan berstruktur antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam aspek pertahanan, yang sebelum ini dijalankan melalui latihan bersama, pertukaran pegawai serta sokongan keupayaan ketenteraan.
“Sebelum ini kita tidak ada satu rangka yang khusus atau formal, tetapi banyak latihan dan pertukaran pegawai telah dijalankan. Dengan adanya MoU ini, kita boleh menyusun dan memastikan kerjasama berjalan dengan baik dan menepati keperluan pertahanan negara,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata MoU itu akan disemak setiap lima tahun dan memberi tumpuan kepada pertukaran kepakaran, latihan bersama serta bantuan teknikal dalam usaha meningkatkan keupayaan pertahanan negara.
Khaled menjelaskan kerjasama pertahanan seperti ini sebahagian daripada pendekatan diplomasi pertahanan, bagi memperkukuh kesiagaan negara dan memastikan kestabilan serantau.
“Dalam menjayakan pertahanan sesebuah negara, ia bukan sekadar bergantung kepada peruntukan untuk perolehan aset. Diplomasi pertahanan juga penting — negara lain boleh membantu, memberi sokongan dan meningkatkan keupayaan kita,” ujarnya.
Khaled menegaskan kehadiran kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China dalam platform ADMM-Plus mencerminkan keyakinan pada peranan Asean sebagai blok yang mampu menjadi jambatan kepada pelbagai pihak dalam menangani isu keselamatan serantau.
Khaled menegaskan Malaysia sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka dalam menjalinkan hubungan pertahanan dengan mana-mana negara, selaras dasar luar negara yang tidak memihak kepada mana-mana blok kuasa.